Meta membangunkan teknologi dan perkhidmatan yang mendayakan orang ramai untuk saling berhubung antara satu sama lain, membina komuniti dan mengembangkan perniagaan. Terma Perkhidmatan ini ( "Terma") mentadbir akses dan penggunaan anda ke atas Facebook, Messenger dan produk, laman web ciri, aplikasi, perkhidmatan, teknologi dan perisian lain yang kami tawarkan (Produk Meta atau Produk), kecuali apabila kami menyatakan dengan jelas bahawa terma yang berasingan (dan bukan Terma ini) terpakai. (Sebagai contoh, penggunaan Instagram anda tertakluk pada Terma Penggunaan Instagram). Produk ini disediakan kepada anda oleh Meta Platforms, Inc. Oleh itu, Terma ini merupakan perjanjian antara anda dengan Meta Platforms, Inc. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma ini, maka jangan akses atau guna Facebook atau produk dan perkhidmatan lain yang dirangkumi oleh Terma ini.
Terma ini (dahulu dikenali sebagai Pernyataan Hak dan Tanggungjawab) ialah perjanjian keseluruhan antara anda dengan Meta Platforms, Inc. berkenaan dengan penggunaan anda ke atas Produk kami. Terma ini menggantikan sebarang perjanjian terdahulu.
Kami tidak mengenakan bayaran kepada anda untuk menggunakan Facebook atau produk dan perkhidmatan lain yang dirangkumi oleh Terma ini, melainkan kami menyatakan sebaliknya. Sebaliknya, perniagaan, organisasi dan orang lain membayar kami untuk menunjukkan iklan untuk produk dan perkhidmatan mereka kepada anda. Dengan menggunakan Produk kami, anda bersetuju bahawa kami boleh menunjukkan kepada anda iklan yang kami fikir relevan dengan anda dan minat anda. Kami menggunakan data peribadi anda untuk membantu kami menentukan iklan diperibadikan yang hendak ditunjukkan kepada anda.
Kami tidak menjual data peribadi anda kepada pengiklan dan kami tidak berkongsi maklumat yang mengenal pasti anda secara langsung (seperti nama, alamat e-mel atau maklumat hubungan anda yang lain) dengan pengiklan kecuali anda memberi kami keizinan khusus. Sebaliknya, pengiklan boleh memberitahu kami perkara seperti jenis khalayak yang dikehendaki untuk menyiarkan iklan dan kami memaparkan iklan tersebut kepada orang yang mungkin berminat. Kami menyediakan laporan kepada pengiklan tentang prestasi iklan mereka yang membantu mereka memahami cara orang berinteraksi dengan kandungan mereka. Lihat Bahagian 2 di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara pengiklanan diperibadikan di bawah terma ini berfungsi pada Produk Meta.
Dasar Data kami menerangkan cara kami mengumpul dan menggunakan data peribadi anda untuk menentukan iklan yang anda lihat dan menyediakan semua perkhidmatan lain yang diterangkan di bawah. Anda juga boleh pergi ke halaman tetapan anda untuk Produk Meta yang relevan pada bila-bila masa bagi menyemak pilihan privasi yang tersedia berkenaan cara kami menggunakan data anda.
Misi kami adalah untuk memberikan kuasa kepada orang ramai agar dapat membina komuniti dan mengeratkan hubungan sejagat. Untuk membantu memajukan misi ini, kami menyediakan Produk dan perkhidmatan seperti yang diterangkan di bawah:
1.1 Menyediakan pengalaman diperibadikan kepada anda:
Pengalaman anda di Facebook tidak sama seperti yang dialami oleh orang lain: daripada siaran, cerita, acara, iklan dan kandungan lain yang anda lihat pada Suapan Facebook atau platform video kami kepada Halaman Facebook yang anda ikuti serta ciri lain yang mungkin anda gunakan, seperti Facebook Marketplace dan carian. Sebagai contoh, kami menggunakan data tentang sambungan yang anda lakukan, pilihan dan tetapan yang anda pilih, serta perkara yang anda kongsikan dan lakukan di dalam dan di luar Produk kami - untuk memperibadikan pengalaman anda.
1.2 Menghubungkan anda dengan orang dan organisasi yang penting untuk anda:
Kami membantu anda mencari dan berhubung dengan orang, kumpulan, perniagaan, organisasi dan perkara lain yang penting untuk anda di seluruh Produk Meta yang anda gunakan. Kami menggunakan data bagi membuat cadangan untuk anda dan orang lain - sebagai contoh, kumpulan untuk disertai, acara untuk dihadiri, Halaman Facebook untuk diikuti atau mesej untuk dihantar, tayangan untuk ditonton dan orang yang mungkin anda ingin jadikan sebagai rakan. Hubungan yang lebih erat mewujudkan komuniti yang lebih baik dan kami percaya perkhidmatan kami amat berguna apabila seseorang dihubungkan dengan orang, kumpulan dan organisasi yang penting untuk mereka.
1.3 Memperkasakan anda untuk mengekspresikan diri dan berkomunikasi tentang perkara yang penting bagi anda:
Terdapat banyak cara anda boleh mengekspresikan diri anda di Facebook dan berkomunikasi dengan rakan, keluarga serta orang lain tentang perkara yang penting bagi anda - sebagai contoh, berkongsi kemas kini status, foto, video dan cerita di seluruh Produk Meta (selaras dengan tetapan anda), menghantar mesej atau membuat panggilan suara atau video kepada rakan atau beberapa orang, mencipta acara atau kumpulan, atau menambahkan kandungan pada profil anda serta menunjukkan kepada anda wawasan tentang cara orang lain terlibat dengan kandungan anda. Kami juga telah membangunkan dan terus menerokai cara baharu untuk orang ramai menggunakan teknologi, seperti realiti terimbuh dan video 360 untuk mencipta dan berkongsi kandungan yang lebih ekspresif dan menarik pada Produk Meta.
1.4 Membantu anda menemukan kandungan, produk dan perkhidmatan yang mungkin menarik perhatian anda:
Kami menunjukkan iklan, tawaran dan kandungan tajaan atau komersial lain yang diperibadikan kepada anda untuk membantu anda menemukan kandungan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai perniagaan dan organisasi yang menggunakan Facebook dan Produk Meta yang lain. Bahagian 2 di bawah menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci.
1.5 Menggalakkan keselamatan, keterjaminan dan integriti perkhidmatan kami, memerangi kelakuan berbahaya dan memastikan komuniti pengguna kami selamat:
Orang ramai hanya akan membina komuniti pada Produk Meta jika mereka berasa selamat dan dilindungi. Kami bekerja keras untuk mengekalkan keselamatan (termasuk ketersediaan, kesahihan, integriti dan kesulitan) Produk dan perkhidmatan kami. Kami melantik pasukan khas di seluruh dunia, bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan luaran, rakan kongsi dan entiti lain yang relevan serta membangunkan sistem teknikal yang maju untuk mengesan penyalahgunaan yang berkemungkinan Produk kami, perlakuan berbahaya terhadap orang lain dan keadaan yang kami boleh membantu untuk menyokong atau melindungi komuniti kami, termasuk memberikan respons kepada laporan pengguna tentang perlanggaran kandungan yang berkemungkinan. Jika kami mendapat tahu tentang kandungan atau perlakuan seperti ini, kami boleh mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan penilaian kami yang mungkin termasuk - memberitahu anda, menawarkan bantuan, mengalih keluar kandungan, membatalkan atau menyekat akses kepada ciri tertentu, menyahdayakan akaun atau menghubungi pihak penguatkuasaan undang-undang. Kami berkongsi data merentasi Syarikat Meta apabila kami mengesan penyalahgunaan atau kelakuan berbahaya oleh seseorang yang menggunakan salah satu Produk kami atau untuk menjaga keselamatan Produk Meta, pengguna dan komuniti. Sebagai contoh, kami berkongsi maklumat dengan Syarikat Meta yang menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan untuk membantu mereka meningkatkan keselamatan, keterjaminan dan integriti dan mematuhi undang-undang yang berkenaan. Meta boleh mengakses, memelihara, menggunakan dan berkongsi apa-apa maklumat yang dikumpulkan tentang anda yang dipercayai oleh Meta dengan suci hati bahawa undang-undang menghendaki atau membenarkan Meta berbuat demikian. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila semak Dasar Privasi kami.
Dalam sesetengah kes, Lembaga Pemerhati boleh menyemak keputusan kami, tertakluk pada terma dan undang-undang kecil mereka. Ketahui lebih lanjut di sini.
1.6 Menggunakan dan membangunkan teknologi maju untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan berfungsi untuk semua orang:
Kami menggunakan dan membangunkan teknologi maju - seperti kecerdasan buatan, sistem pembelajaran mesin dan realiti terimbuh - supaya orang ramai boleh menggunakan Produk kami dengan selamat tanpa mengira keupayaan fizikal atau lokasi geografi. Sebagai contoh, teknologi seperti ini membantu orang yang mempunyai masalah penglihatan memahami perkara dan orang yang berada dalam foto atau video yang dikongsikan di Facebook atau Instagram. Kami juga membina rangkaian dan teknologi komunikasi yang canggih untuk membantu lebih banyak orang berhubung dengan Internet di kawasan yang mempunyai akses terhad. Malah, kami membangunkan sistem automatik untuk meningkatkan keupayaan kami mengesan dan mengalih keluar aktiviti yang mendatangkan ancaman dan berbahaya yang boleh memudaratkan komuniti dan integriti Produk kami.
1.7 Menyelidik cara menjadikan perkhidmatan kami lebih baik:
Kami terlibat dalam penyelidikan untuk membangun, menguji dan memantapkan Produk kami. Ini termasuk menganalisis data yang kami ada tentang pengguna kami dan memahami cara orang ramai menggunakan Produk kami, misalnya dengan menjalankan tinjauan dan ujian serta penyelesaian masalah ciri-ciri baharu. Dasar Privasi kami menerangkan cara kami menggunakan data untuk menyokong penyelidikan ini bagi tujuan membangunkan dan meningkatkan perkhidmatan kami.
1.8 Menyediakan pengalaman yang konsisten dan lancar merentasi Produk Syarikat Meta:
Produk kami membantu anda mencari dan berhubung dengan orang, kumpulan, perniagaan, organisasi, dan perkara lain yang penting buat anda. Kami mereka bentuk sistem kami agar anda mendapat pengalaman yang konsisten dan lancar bagi pelbagai Produk Syarikat Meta yang anda gunakan. Sebagai contoh, kami menggunakan data tentang orang yang berhubung dengan anda di Facebook bagi memudahkan anda berhubung dengan mereka di Instagram atau Messenger dan kami mendayakan anda berkomunikasi dengan perniagaan yang anda ikuti di Facebook menerusi Messenger.
1.9 Memastikan akses kepada perkhidmatan kami:
Bagi mengendalikan perkhidmatan global dan membolehkan anda berhubung dengan orang di seluruh dunia, kami perlu memindahkan, menyimpan dan mengedarkan kandungan serta data kepada pusat data, rakan kongsi, penyedia perkhidmatan, vendor dan sistem kami di seluruh dunia, termasuklah di luar negara anda bermastautin. Penggunaan infrastruktur global ini adalah perlu dan mustahak untuk menyediakan perkhidmatan kami. Infrastruktur ini boleh dimiliki, dikendalikan atau dikawal oleh Meta Platforms, Inc., Meta Platforms Ireland Limited atau sekutu.
2. Cara perkhidmatan kami dibiayai
Daripada membayar untuk menggunakan Facebook dan produk serta perkhidmatan lain yang kami tawarkan, dengan menggunakan Produk Meta yang dirangkumi oleh Terma ini, anda bersetuju bahawa kami boleh menunjukkan kepada anda iklan dan kandungan komersial dan tajaan lain yang diperibadikan yang perniagaan dan organisasi membayar kami untuk dipromosikan di dalam dan di luar Produk Syarikat Meta. Kami menggunakan data peribadi anda seperti maklumat tentang aktiviti dan minat anda untuk menunjukkan iklan dan kandungan tajaan yang diperibadikan yang mungkin lebih relevan dengan anda.
Melindungi privasi orang ramai adalah penting dalam cara kami mereka bentuk sistem iklan diperibadikan kami. Ini bermakna kami boleh menunjukkan kepada anda iklan yang berkaitan dan berguna tanpa memberitahu pengiklan tentang identiti diri anda. Kami tidak menjual data peribadi anda. Kami membenarkan pengiklan memberitahu kami perkara seperti matlamat perniagaan mereka dan jenis khalayak yang mereka mahu untuk melihat iklan mereka (sebagai contoh, orang yang berumur antara 18-35 yang suka berbasikal). Kami kemudian akan menunjukkan iklan mereka kepada orang yang kami fikir mungkin berminat.
Kami juga menyediakan laporan kepada pengiklan tentang prestasi iklan mereka untuk membantu mereka memahami cara orang berinteraksi dengan kandungan mereka di dalam dan luar Produk Meta. Sebagai contoh, kami memberikan maklumat demografi dan minat umum kepada pengiklan agar mereka lebih memahami khalayak mereka, misalnya hakikat bahawa wanita yang berumur antara 25 dan 34 tahun yang tinggal di Madrid dan meminati kejuruteraan perisian telah melihat suatu iklan. Kami tidak berkongsi maklumat yang mengaitkan diri anda secara langsung (maklumat seperti nama atau alamat e-mel anda yang boleh digunakan untuk menghubungi atau mengenal pasti diri anda) melainkan anda memberikan keizinan khusus kepada kami. Ketahui lebih lanjut tentang cara iklan Meta berfungsi di sini.
Kami mengumpul dan menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan yang diterangkan di atas kepada anda. Anda boleh mengetahui tentang cara kami mengumpulkan dan menggunakan data anda dalam Dasar Privasi. Anda mempunyai kawalan terhadap jenis iklan dan pengiklan yang anda lihat serta jenis maklumat yang kami gunakan untuk menentukan iklan yang kami tunjukkan kepada anda. Ketahui lebih lanjut.
3. Komitmen anda terhadap Facebook dan komuniti kami
Kami menyediakan perkhidmatan ini kepada anda dan orang lain untuk membantu usaha memajukan misi kami. Oleh itu, kami memerlukan anda untuk melaksanakan komitmen yang berikut:
3.1 Orang yang boleh menggunakan Facebook
Apabila orang ramai berpegang teguh dengan pandangan dan tindakan mereka, komuniti kita menjadi lebih selamat dan lebih bertanggungjawab. Oleh itu, anda perlu:
Menyediakan nama yang sama untuk akaun anda seperti yang anda gunakan dalam kehidupan seharian.
Memberikan maklumat yang tepat tentang diri anda.
Mencipta satu akaun sahaja (milik anda sendiri) dan digunakan untuk tujuan peribadi.
Tidak berkongsi kata laluan, memberikan akses akaun Facebook anda kepada orang lain atau memindahkan akaun anda kepada orang lain (tanpa keizinan kami).
Kami berusaha untuk menjadikan Facebook tersedia seluasnya untuk semua orang, namun anda tidak boleh menggunakan Facebook jika:
Anda berumur di bawah 13 tahun.
Anda ialah pesalah seks yang disabitkan.
Kami sebelum ini telah menggantung atau menamatkan akaun anda kerana melanggar Terma kami, Standard Komuniti, atau terma dan dasar lain yang terpakai ke atas penggunaan Facebook oleh anda. Sekiranya kami menyahdayakan akaun anda kerana melanggar Terma kami, Standard Komuniti, atau terma dan dasar lain, anda bersetuju untuk tidak mencipta akaun lain tanpa kebenaran kami. Menerima keizinan untuk mencipta akaun baharu diberikan mengikut budi bicara mutlak kami, dan tidak bermakna atau membayangkan bahawa tindakan tatatertib itu salah atau tanpa sebab.
Anda dilarang daripada menerima produk, perkhidmatan atau perisian kami di bawah undang-undang yang berkenaan.
3.2 Perkara yang boleh anda kongsikan dan lakukan pada Produk Meta
Kami mahu orang ramai menggunakan Produk Meta untuk meluahkan diri mereka dan berkongsi kandungan yang penting buat mereka, namun tidak memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan orang lain atau integriti komuniti kami. Anda dengan ini bersetuju untuk tidak terlibat dengan perlakuan seperti yang diterangkan di bawah (atau untuk membantu atau menyokong orang lain untuk melakukan sedemikian):
Anda tidak boleh menggunakan Produk kami untuk melakukan atau berkongsi apa-apa yang:
Yang menyalahi undang-undang, mengelirukan, mendiskriminasi atau menipu (atau membantu orang lain menggunakan Produk kami dengan cara sedemikian).
Anda tidak memiliki atau mempunyai hak yang diperlukan untuk berkongsi.
Pelanggaran hak orang lain, termasuk hak harta intelektual mereka (seperti dengan melanggar hak cipta atau tanda dagang orang lain, atau mengedarkan atau menjual barang palsu atau cetak rompak), melainkan pengecualian atau pembatasan terpakai menurut undang-undang yang berkenaan.
Anda tidak boleh memuat naik virus atau kod berniat jahat, menggunakan perkhidmatan untuk menghantar spam atau melakukan apa-apa lagi yang boleh menyahdayakan, membebankan, mengganggu atau menjejaskan kerja, integriti, operasi atau penampilan perkhidmatan, sistem atau Produk kami yang sepatutnya.
Anda tidak boleh mengakses atau mengumpulkan data daripada Produk kami menggunakan kaedah automatik (tanpa keizinan kami terlebih dahulu) atau cuba mengakses data yang anda tiada keizinan untuk mengakses data, tidak kira sama ada akses atau pengumpulan automatik sedemikian dilakukan semasa mengelog masuk ke akaun Facebook.
Anda tidak boleh membuat proksi, meminta atau mengumpulkan nama pengguna atau kata laluan Produk, atau menyalahgunakan token akses.
Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam Terma Platform, anda tidak boleh menjual, melesenkan atau membeli sebarang data yang diperoleh daripada kami atau perkhidmatan kami, tidak kira sama ada data tersebut diperoleh semasa mengelog masuk ke akaun Facebook.
Anda tidak boleh menyalahgunakan mana-mana saluran pelaporan, amaran, pertikaian atau rayuan, seperti dengan membuat laporan atau rayuan yang menipu, berulang atau tidak berasas.
Anda tidak boleh melakukan, atau cuba melakukan, apa-apa perkara untuk memintas atau mengatasi sebarang langkah teknologi yang Meta gunakan untuk mengawal atau mengehadkan akses kepada Produk atau data kami.
Kami boleh mengalih keluar atau menyekat akses kepada kandungan yang melanggar peruntukan ini. Kami juga boleh menggantung atau menyahdayakan akaun anda kerana kelakuan yang melanggar peruntukan ini, seperti yang diperuntukkan dalam Bahagian 4.2.
Jika kami mengalih keluar kandungan yang telah anda kongsikan yang melanggar Standard Komuniti, kami akan memberitahu anda dan menerangkan sebarang pilihan yang anda ada untuk meminta semakan lain, melainkan anda secara serius atau berulang kali melanggar Terma ini atau jika berbuat demikian boleh mendedahkan kami atau orang lain kepada liabiliti undang-undang; membahayakan komuniti pengguna kami; menjejaskan atau mengganggu integriti atau operasi mana-mana perkhidmatan, sistem atau Produk kami; iaitu kami dihadkan kerana batasan teknikal; atau apabila kami dilarang berbuat demikian atas sebab undang-undang. Untuk mendapatkan maklumat tentang penggantungan atau penamatan akaun, lihat Bahagian 4.2 di bawah.
Kami bekerjasama dengan penyemak fakta bebas dalam banyak bidang kuasa untuk memerangi maklumat salah. Apabila kandungan telah dinilai oleh penyemak fakta, kami mungkin akan menambahkan notis untuk memberikan konteks tambahan. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang penyemakan fakta di sini.
Untuk membantu menyokong komuniti kami, kami menggalakkan anda melaporkan kandungan atau perlakuan yang dipercayai melanggar hak anda (termasuk hak harta intelek) atau terma dan dasar kami, sekiranya ciri ini wujud dalam bidang kuasa anda. Kami juga boleh mengalih keluar atau mengehadkan akses kepada kandungan, ciri, perkhidmatan atau maklumat sekiranya kami menentukan bahawa tindakan itu secara munasabahnya wajar untuk mengelakkan atau mengurangkan penyalahgunaan atau kesan undang-undang atau peraturan yang buruk kepada Meta.
3.3 Keizinan yang anda berikan kepada kami
Kami memerlukan keizinan tertentu daripada anda bagi menyediakan perkhidmatan kami:
1. Kandungan anda: Sesetengah kandungan yang anda kongsi atau muat naik, seperti foto atau video, boleh dilindungi oleh undang-undang harta intelektual.
Anda mengekalkan pemilikan hak harta intelek (perkara seperti hak cipta atau cap dagangan) dalam mana-mana kandungan yang anda cipta dan kongsikan di Facebook dan Produk Syarikat Meta lain yang anda gunakan. Tiada apa-apa dalam Terma ini yang mengambil hak yang anda miliki ke atas kandungan anda sendiri. Anda bebas berkongsi kandungan anda dengan sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja anda mahu.
Walau bagaimanapun, untuk menyediakan perkhidmatan, kami memerlukan anda untuk memberi kami beberapa keizinan undang-undang (dikenali sebagai "lesen") bagi menggunakan kandungan itu. Ini semata-mata untuk tujuan menyediakan dan meningkatkan Produk dan perkhidmatan kami seperti yang diterangkan dalam Bahagian 1 di atas.
2. Keizinan menggunakan kandungan yang dicipta dan dikongsi oleh anda: Khususnya, semasa anda berkongsi, menyiar atau memuat naik kandungan yang dilindungi oleh hak harta intelektual pada atau berhubung dengan Produk kami, anda memberikan lesen yang bukan eksklusif, boleh dipindahkan, boleh disublesenkan, tanpa royalti dan lesen seluruh dunia kepada kami untuk mengehos, menggunakan, mengedarkan, mengubah suai, menjalankan, menyalin, melaksanakan atau memaparkan secara umum, menterjemah dan mencipta karya terbitan daripada kandungan anda (selaras dengan tetapan privasi dan aplikasi anda). Ini bermakna, misalnya anda berkongsi foto di Facebook, anda memberikan keizinan kepada kami untuk menyimpan, menyalin dan berkongsi dengan orang lain (sekali lagi, selaras dengan tetapan anda) seperti Produk Syarikat Meta atau penyedia perkhidmatan yang menyokong produk dan perkhidmatan tersebut. Lesen ini akan tamat apabila kandungan anda dipadamkan daripada sistem kami.
3. Memadamkan Kandungan Anda: Anda boleh memadamkan setiap kandungan yang anda kongsi, siar dan muat naik pada bila-bila masa. Selain itu, semua kandungan yang disiarkan ke akaun peribadi anda akan dipadamkan jika anda memadamkan akaun anda. Ketahui lebih lanjut tentang cara memadamkan akaun anda. Pemadaman akaun tidak secara automatik memadamkan kandungan yang anda siarkan sebagai pentadbir halaman atau kandungan yang anda cipta bersama dengan pengguna lain seperti foto dalam Album Dikongsi yang mungkin terus dapat dilihat oleh ahli album yang lain.
Pemadaman ini mungkin mengambil masa hingga 90 hari untuk memadamkan kandungan selepas kami memulakan proses pemadaman akaun atau menerima permintaan pemadaman kandungan. Jika anda menghantar kandungan ke tong sampah, proses pemadaman akan bermula secara automatik dalam masa 30 hari melainkan anda memilih untuk memadamkan kandungan itu lebih awal. Semasa proses pemadaman bagi kandungan tersebut sedang berjalan, kandungan itu tidak lagi dapat dilihat oleh pengguna lain. Setelah kandungan dipadamkan, kami mungkin memerlukan masa 90 hari lagi untuk memadamkan kandungan itu daripada sandaran dan sistem pemulihan bencana.
Kandungan tidak akan dipadamkan dalam masa 90 hari daripada permulaan proses pemadaman akaun atau pemadaman kandungan dalam keadaan yang berikut:
kandungan anda telah digunakan oleh orang lain mengikut lesen ini dan mereka tidak memadamkan kandungan itu (dalam hal ini, lesen ini akan terus digunakan sehingga kandungan itu dipadamkan);
pemadaman dalam masa 90 hari adalah mustahil kerana batasan teknikal sistem kami, dalam hal ini, kami akan menyelesaikan pemadaman secepat mungkin daripada segi teknikal; atau
sekiranya pemadaman segera akan menyekat keupayaan kami untuk:
menyiasat atau mengenal pasti aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pelanggaran terma dan dasar kami (sebagai contoh, untuk mengenal pasti atau menyiasat penyalahgunaan Produk atau sistem kami);
melindungi keselamatan, integriti dan keterjaminan Produk, sistem, perkhidmatan kami, pekerja kami, dan pengguna, dan untuk mempertahankan diri kami;
mematuhi kewajipan undang-undang untuk pemeliharaan bukti, termasuk data Syarikat Meta yang menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan bagi mematuhi sebarang kewajipan penyimpanan rekod yang dikehendaki oleh undang-undang; atau
mematuhi permintaan pihak berkuasa kehakiman atau pentadbiran, penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan;
dalam hal ini, kandungan itu akan disimpan tidak lebih daripada yang diperlukan bagi tujuan kandungan itu disimpan (tempoh yang tepat berbeza-beza mengikut kes).
Dalam setiap keadaan di atas, lesen ini akan diteruskan sehingga kandungan dipadamkan sepenuhnya.
4. Keizinan untuk menggunakan nama, gambar profil dan maklumat berkenaan tindakan anda terhadap iklan dan kandungan ditaja atau komersial: Anda memberi kami keizinan untuk menggunakan nama dan gambar profil serta maklumat tentang tindakan yang telah anda ambil di Facebook bersebelahan atau berkaitan dengan iklan, tawaran dan kandungan tajaan atau komersial lain yang kami paparkan di seluruh Produk kami tanpa apa-apa pampasan kepada anda. Sebagai contoh, kami mungkin menunjukkan kepada rakan anda jika anda berminat terhadap acara yang diiklankan atau anda telah menyukai Halaman Facebook yang dicipta oleh suatu jenama yang membayar kami untuk menayangkan iklan mereka di Facebook. Iklan dan kandungan seperti ini hanya boleh dilihat oleh orang yang mempunyai keizinan anda untuk melihat tindakan yang telah anda ambil pada Produk Meta. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang tetapan iklan dan pilihan utama anda.
5. Keizinan untuk mengemas kini perisian yang anda gunakan atau muat turun: Jika anda memuat turun atau menggunakan perisian kami, anda memberi kami keizinan untuk memuat turun dan memasang kemas kini pada perisian apabila tersedia.
3.4 Had penggunaan harta intelektual kami
Jika anda menggunakan kandungan yang dilindungi oleh hak harta intelektual yang kami miliki dan tersedia dalam Produk kami (sebagai contoh, imej, reka bentuk, video atau bunyi yang kami sediakan yang anda tambahkan pada kandungan yang anda cipta atau kongsikan di Facebook), kami mengekalkan semua hak terhadap kandungan tersebut (tetapi bukan yang dimiliki oleh anda). Anda hanya boleh menggunakan hak cipta atau tanda dagangan (atau sebarang tanda yang sama) seperti yang dibenarkan secara nyata oleh Garis Panduan Penggunaan Jenama kami atau dengan keizinan bertulis daripada pihak kami terlebih dahulu. Anda mesti mendapatkan keizinan bertulis daripada kami (atau keizinan di bawah lesen sumber terbuka) untuk mengubah suai, menterjemah, mencipta karya terbitan, menyusun semula atau melakukan kejuruteraan balikan terhadap produk dan komponen kami atau cuba mengekstrak kod sumber daripada kami, melainkan pengecualian atau pengehadan terpakai menurut undang-undang yang berkenaan atau perlakuan anda berkaitan dengan Program Ganjaran Pepijat Meta. Kami memelihara semua hak yang tidak diberikan secara nyata kepada anda.
4. Peruntukan tambahan
4.1 Mengemas Kini Terma kami
Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan kami dan membangunkan ciri baharu untuk menjadikan Produk kami lebih baik untuk anda dan juga komuniti kami. Oleh itu, kami mungkin perlu mengemas kini Terma ini dari semasa ke semasa untuk mencerminkan perkhidmatan dan amalan kami dengan tepat bagi menganjurkan pengalaman yang selamat dan terjamin pada Produk dan perkhidmatan kami, dan/atau untuk mematuhi undang-undang yang berkenaan. Kami hanya akan membuat sebarang perubahan sekiranya peruntukan itu tidak lagi sesuai atau jika tidak lengkap dan hanya jika perubahan itu munasabah dengan mempertimbangkan kepentingan anda atau jika perubahan itu diperlukan untuk tujuan keselamatan dan keterjaminan atau untuk mematuhi undang-undang yang berkenaan.
Kami akan memaklumkan kepada anda (sebagai contoh melalui e-mel atau menerusi Produk kami) sekurang-kurangnya 30 hari sebelum kami membuat apa-apa perubahan terhadap Terma ini dan memberikan peluang kepada anda untuk mengulas kandungan Terma sebelum mula berkuat kuasa, melainkan perubahan itu dikehendaki oleh undang-undang. Setelah mana-mana Terma yang dikemas kini mula berkuat kuasa, anda akan mula terikat jika anda terus mengakses atau menggunakan Produk kami.
Kami berharap anda akan terus menggunakan Produk kami, tetapi jika anda tidak bersetuju dengan Terma kami yang dikemas kini, atau ingin menamatkan perjanjian anda dengan kontrak ini, anda boleh memadamkan akaun anda pada bila-bila masa dan anda juga mesti berhenti mengakses, atau menggunakan Facebook dan Produk Meta yang lain.
4.2 Penggantungan atau penamatan akaun
Kami ingin menjadikan Facebook sebagai sebuah tempat orang ramai berasa dialu-alukan dan selamat untuk meluahkan perasaan mereka serta berkongsi pandangan dan idea mereka.
Jika kami menentukan, mengikut budi bicara kami, bahawa anda telah dengan jelas, serius atau berulang kali melanggar Terma atau Dasar kami, termasuk khususnya Standard Komuniti, kami mungkin menggantung atau menyahdayakan akses anda secara kekal kepada Produk Syarikat Meta, dan kami mungkin menyahdayakan atau memadamkan akaun anda secara kekal. Kami juga boleh menyahdayakan atau memadam akaun anda jika anda melanggar hak harta intelektual orang lain berulang kali atau jika kami dikehendaki berbuat demikian atas sebab undang-undang.
Kami boleh menyahdayakan atau memadamkan akaun anda sekiranya akaun anda tidak disahkan selepas pendaftaran, akaun anda tidak digunakan dan tidak aktif untuk jangka masa yang panjang, atau jika kami mengesan seseorang mungkin telah menggunakan akaun itu tanpa keizinan anda dan kami tidak dapat mengesahkan pemilikan anda ke atas akaun tersebut. Ketahui lebih lanjut tentang cara kami menyahdayakan dan memadamkan akaun.
Apabila kami mengambil tindakan sedemikian, kami akan memberitahu anda dan menerangkan sebarang pilihan yang anda ada untuk meminta semakan, melainkan apabila berbuat demikian boleh mendedahkan kami atau orang lain kepada liabiliti undang-undang; memudaratkan komuniti pengguna kami; menjejaskan atau mengganggu integriti atau operasi mana-mana perkhidmatan, sistem atau Produk kami; jika kami dihadkan kerana batasan teknikal; atau jika kami dilarang berbuat demikian atas sebab undang-undang.
Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang tindakan yang boleh dilakukan jika akaun anda dinyahdayakan dan cara menghubungi kami jika anda berpendapat bahawa kami tersilap menyahdayakan akaun anda.
Jika anda memadamkan atau kami menyahdayakan atau memadamkan akaun anda, dan anda berhenti mengakses, menggunakan, atau melawati Facebook dan Produk Meta yang lain, ataupun jika kontrak ini ditamatkan, maka Terma ini akan ditamatkan sebagai sebuah perjanjian antara anda dengan kami, kecuali untuk peruntukan berikut, yang akan kekal: (3, 4.2-4.5).
4.3 Had liabiliti
Kami berusaha untuk menyediakan Produk terbaik dan menyatakan garis panduan yang jelas kepada setiap orang yang menggunakan produk tersebut. Produk kami, walau bagaimanapun, disediakan "seadanya", dan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, kami tidak memberikan jaminan bahawa produk itu sentiasa selamat, terjamin atau bebas ralat, atau akan berfungsi tanpa gangguan, kelewatan atau ketidaksempurnaan. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, kami juga MENAFIKAN SEMUA JAMINAN, SAMA ADA YANG TERSURAT ATAU TERSIRAT, TERMASUK WARANTI TERSIRAT KEBOLEHNIAGAAN, BERSESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU, HAK MILIK, DAN TIADA PELANGGARAN. Kami tidak mengawal atau mengarah perlakuan atau pernyataan orang ramai dan kami tidak bertanggungjawab terhadap tindakan atau kelakuan mereka (sama ada dalam talian atau luar talian) atau apa-apa kandungan yang mereka kongsikan (termasuk kandungan yang menyinggung, tidak sesuai, bersifat lucah, menyalahi undang-undang dan kandungan lain yang tidak menyenangkan).
Kami tidak dapat meramalkan masa sesuatu isu yang mungkin timbul berkaitan dengan Produk kami. Oleh yang demikian, liabiliti kami akan dihadkan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan. Setakat yang sepenuhnya dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan dalam apa-apa keadaan, kami tidak akan bertanggungjawab ke atas anda bagi apa-apa kehilangan keuntungan, pendapatan, maklumat atau data atau ganti rugi turutan, khas, tidak langsung, teladan, punitif atau sampingan yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma ini atau Produk Meta (walau bagaimanapun disebabkan dan berdasarkan teori liabiliti, termasuk kecuaian), walaupun jika kami telah dinasihatkan tentang kemungkinan ganti rugi tersebut.
4.4 Pertikaian
Kami berusaha menyediakan peraturan yang jelas supaya kami dapat mengehadkan serta mengelakkan pertikaian antara anda dengan kami. Jika pertikaian timbul, amat berguna untuk mengetahui terlebih dahulu tempat pertikaian dapat diselesaikan dan undang-undang yang akan terpakai.
Jika anda seorang pengguna, atau jika dikehendaki oleh undang-undang yang berkenaan, undang-undang negara tempat anda bermastautin akan terpakai ke atas sebarang tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian yang anda ada terhadap kami yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma ini atau Produk Meta, dan anda boleh menyelesaikan tuntutan anda di mana-mana mahkamah kompeten di negara tersebut yang mempunyai bidang kuasa ke atas tuntutan tersebut. Dalam semua kes yang lain dan untuk apa-apa tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian yang difailkan oleh Meta terhadap anda, anda dan Meta bersetuju bahawa sebarang tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian tersebut mesti diselesaikan secara eksklusif di A.S. Mahkamah Daerah untuk Daerah California Utara atau mahkamah negeri yang terletak di Daerah San Mateo. Anda juga bersetuju bahawa anda mematuhi bidang kuasa persendirian di satu daripada mahkamah ini untuk tujuan litigasi ke atas tuntutan tersebut dan bahawa undang-undang Negeri California akan mentadbir Terma ini dan apa-apa tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian tanpa mengambil kira percanggahan peruntukan undang-undang. Tanpa prejudis kepada perkara di atas, anda bersetuju bahawa Meta dengan budi bicara mutlak mereka boleh mengemukakan sebarang tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian yang kami ada terhadap anda di mana-mana mahkamah yang kompeten di negara tempat anda tinggal yang mempunyai bidang kuasa ke atas tuntutan tersebut.
4.5 Lain-lain
Terma Tambahan: Sesetengah Produk yang kami tawarkan juga ditadbir mengikut terma tambahan. Jika anda menggunakan sebarang Produk tersebut, terma tambahan akan disediakan dan menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan anda. Sebagai contoh, jika anda mengakses atau menggunakan Produk kami untuk tujuan komersial atau perniagaan, seperti membeli iklan, menjual produk, membangunkan aplikasi, menguruskan kumpulan atau Halaman untuk perniagaan anda atau menggunakan perkhidmatan penilaian kami, anda perlu bersetuju dengan Terma Komersial kami. Jika anda menyiarkan atau berkongsi kandungan yang mengandungi muzik, anda perlu mematuhi Garis Panduan Muzik kami. Jika anda menggunakan Avatar, maka Terma Avatar juga terpakai. Jika anda menggunakan produk dan ciri AI kami, Terma Meta AI juga terpakai. Setakat sebarang terma tambahan bercanggah dengan Terma ini, terma tambahan akan terpakai setakat percanggahan tersebut.
Kebolehasingan: Sekiranya mana-mana bahagian Terma ini didapati tidak dapat dikuatkuasakan, bahagian yang tidak dapat dikuatkuasakan akan dianggap dipinda seminimum mungkin supaya dapat dilaksanakan, dan jika tidak dapat dilaksanakan, maka bahagian itu akan dikeluarkan dan bahagian selebihnya akan terus berkuat kuasa sepenuhnya. Jika kami gagal menguatkuasakan mana-mana Terma ini, ini tidak akan dianggap sebagai pengecualian. Apa-apa pindaan atau penepian Terma ini mesti dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh kami.
Tiada Pemindahan: Anda tidak akan memindahkan sebarang hak atau kewajipan anda di bawah Terma ini kepada orang lain tanpa persetujuan kami.
Kenalan Legasi: Anda boleh menugaskan seseorang (dipanggil sebagai kenalan legasi) untuk menguruskan akaun anda sekiranya itu ialah akaun diperingati. Jika anda mendayakan ini dalam tetapan anda, hanya kenalan legasi atau orang yang anda telah kenal pasti dalam wasiat yang sah atau dokumen undang-undang yang serupa yang menyatakan persetujuan yang jelas untuk mendedahkan kandungan anda kepada orang tersebut selepas kematian atau ketidakupayaan untuk mendapatkan pendedahan maklumat yang terhad daripada akaun anda selepas menjadi akaun diperingati.
Tiada Terma Benefisiari Pihak ketiga. Terma ini tidak memberikan apa-apa hak benefisiari pihak ketiga. Semua hak dan kewajipan kami di bawah Terma ini bebas untuk diberikan oleh kami berhubung dengan penggabungan, pengambilalihan atau penjualan aset atau melalui kuat kuasa undang-undang atau sebaliknya.
Perubahan Nama Pengguna: Kami boleh mengubah nama pengguna akaun anda dalam keadaan tertentu (sebagai contoh, jika seseorang menuntut nama pengguna dan didapati nama tersebut tidak berkaitan dengan nama yang anda gunakan dalam kehidupan seharian).
Maklum balas: Kami sentiasa menghargai maklum balas anda dan cadangan lain berkenaan produk dan perkhidmatan kami. Kami boleh menggunakan maklum balas dan cadangan yang lain tanpa sebarang sekatan atau kewajipan untuk memberikan pampasan kepada anda, dan kami tidak diwajibkan untuk merahsiakan maklumat tersebut.
5. Terma dan dasar lain yang mungkin terpakai kepada anda
Standard Komuniti: Garis Panduan ini menggariskan standard kami tentang kandungan yang anda siarkan di Facebook dan aktiviti anda di Facebook serta Produk Meta yang lain.
Terma Komersial: Terma ini juga terpakai sekiranya anda mengakses atau menggunakan Produk kami untuk apa-apa tujuan komersial atau perniagaan, termasuk pengiklanan, pengendalian aplikasi pada Platform kami, menggunakan perkhidmatan pengukuran kami, mengurus kumpulan atau Halaman untuk perniagaan, atau menjual barangan atau perkhidmatan.
Terma Pembayaran Komuniti: Terma ini tertakluk pada pembayaran dibuat atas atau melalui Produk Meta.
Dasar Perdagangan: Garis Panduan ini menggariskan dasar yang terpakai apabila anda menawarkan produk atau perkhidmatan untuk dijual di Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Garis Panduan Muzik: Garis Panduan ini menggariskan dasar yang terpakai jika anda menyiarkan atau berkongsi kandungan yang mengandungi muzik pada mana-mana Produk Meta.
Dasar Pengiklanan: Dasar ini terpakai kepada rakan kongsi yang mengiklan merentasi Produk Meta dan menyatakan jenis kandungan iklan yang dibenarkan oleh rakan kongsi yang mengiklan merentasi Produk Meta.
Terma Pengiklanan Layan Diri: Terma ini terpakai apabila anda menggunakan antara muka pengiklanan layan diri untuk mencipta, menyerahkan atau menyampaikan pengiklanan atau komersial lain atau aktiviti atau kandungan tajaan.
Dasar Halaman Facebook, Kumpulan dan Peristiwa: Garis Panduan ini terpakai sekiranya anda mencipta atau mentadbir Halaman Facebook, kumpulan atau peristiwa, atau sekiranya anda menggunakan Facebook untuk berkomunikasi atau mengurus promosi.
Dasar Platform Meta: Terma ini terpakai ke atas penggunaan set API, SDK, alatan, pemalam, kod, teknologi, kandungan dan perkhidmatan yang membolehkan orang lain membangunkan fungsi, mendapatkan data daripada Produk Meta atau menyediakan data kepada kami.
Terma Pembayaran Pembangun: Terma ini terpakai kepada pembangun aplikasi yang menggunakan Pembayaran Facebook.
Sumber Jenama Meta: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai untuk menggunakan tanda dagangan, logo dan tangkapan skrin Meta.